YDP Agong mahu rakyat ketepi perbezaan, kerjasama perangi wabak
- Ditulis oleh Media Baharu
- Published in Nasional
KUALA LUMPUR, 20 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya rakyat mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama bagi memerangi COVID-19.
Baginda yakin dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah gusar dengan perkembangan semasa kes COVID-19 terutama keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil ICU.
Baginda juga dukacita dengan sikap segelintir rakyat yang masih tidak patuh prosedur operasi standard ditetapkan.
Yang di-Pertuan Agong berharap semua rakyat dapat bersatu memerangi wabak terbabit.
Baginda juga mengajak orang ramai untuk sama-sama berdoa agar perang melawan wabak berjaya.
Pada masa sama Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah.