Sunday, 17 January 2021

updated 12:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Darurat: Tanggungjawab ahli Parlimen tidak berubah

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 12 Jan - Kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tidak berubah serta berterusan sepanjang tempoh darurat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana penggantungan sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti yang diumumkan Perdana Menteri, bukan bermakna kedua-duanya dibubarkan.

Dalam satu kenyataan media, beliau memaklumkan hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Sehubungan itu “Semua aktiviti apa-apa kaukus atau kumpulan rentas parti Parlimen serta semua jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan, kecuali aktiviti-aktiviti tersebut dikekang ordinan yang digubal Yang di-Pertuan Agong.”

Selain itu menurut Datuk Azhar Azizan, pihaknya mengambil maklum penubuhan jawatankuasa bebas dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan mengesyorkan tempoh darurat kepada Agong.

Melalui jawatankuasa bebas tersebut serta jawatankuasa pilihan khas, Parlimen ujarnya akan terus menjalankan fungsinya di dalam proses semak dan imbang, sebagai institusi unggul badan perundangan negara.

Katanya, Parlimen akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal Agong.