Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Harga siling 70 sen bagi pelitup muka tiga lapisan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 27 Oktober - Berkuat kuasa Ahad ini, harga siling runcit baharu bagi pelitup muka jenis tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping.

Menerusi kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.

Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat kajian semula harga pelitup muka melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport, katanya.

Harga baharu ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Harga siling runcit bagi pelitup muka satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, pelitup muka dua lapisan 20 sen sekeping manakala pelitup muka N95 pada RM6 sekeping.

KPDNHEP juga katanya, telah menjalankan sebanyak 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga Ahad lepas.

Peniaga yang gagal mematuhi perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.