Saturday, 28 November 2020

updated 9:00 AM UTC, Nov 28, 2020

Agong minta rakyat bertenang dan bersabar serta jangan membuat spekulasi

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam tempoh terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

Malah, Seri Paduka Baginda amat prihatin dengan kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran perkembangan terkini itu.

Sehubungan itu, Al Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat agar bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menanti keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Rakyat juga dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dan menggugat ketenteraman Malaysia.