Tuesday, 27 October 2020

updated 8:55 AM UTC, Oct 27, 2020

Hospital Medan ATM diwujud, pertingkat kelengkapan perubatan di Sabah

  • Published in Nasional


TAWAU, 17 Oktober- 
Kelengkapan keperluan dan pasukan perubatan di Sabah terus dipertingkat apabila Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di hantar ke Tawau oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi tadi.

Misi penghantaran membawa 14 tan muatan selamat tiba pada 11.55 pagi.

Menerusi kenyataan media TUDM, juruterbang pesawat A400M, Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM menjelaskan, penerbangan bukan sahaja melibatkan penghantaran ke Tawau tetapi turut melibatkan peralatan perubatan ke Kota Kinabalu.

Antara peralatan yang dihantar adalah seperti Personal Protective Equipment (PPE), isolation gown, pelitup separuh muka dan Tyvek Suit bagi kegunaan pusat kesihatan di Sabah termasuk juga peralatan perubatan daripada Mercy Malaysia.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hospital medan ini akan beroperasi segera setelah kelengkapan siap dipasang.

Ia akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini dengan kapasiti 100 katil termasuk empat katil Intensive Care Unit (ICU) yang akan memberikan rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19 bagi membolehkan Hospital Tawau memberi fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes COVID-19.

Penerbangan ini juga turut membawa pulang sampel ujian calitan COVID-19 daripada Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan bagi ujian makmal di Semenanjung.

TUDM sentiasa bersedia dan komited melaksanakan tugas demi kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya.