Logo

PKPB Sabah: Sektor ekonomi, industri, perniagaan dibenar beroperasi


KOTA KINABALU, 17 Oktober- 
Kerajaan Negeri Sabah membenarkan sektor ekonomi, industri dan perniagaan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak dilaksanakan 3 Oktober lalu.

Namun, kebenaran tersebut terkecuali di kawasan lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, berkata, semua kegiatan berkaitan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPB dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

Antara sektor terlibat adalah perkilangan, pembinaan, pertanian, perikanan, perladangan, pembangunan hartanah, logistik, peruncitan dan perkhidmatan.

Pusat dan kelab hiburan, termasuk kelab malam, panggung wayang serta aktiviti perjudian tidak dibenarkan beroperasi selain pasar malam, pasar tani, tamu, rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka dan tatarias kuku.

Tempoh operasi perniagaan di kawasan PKPB yang dibenarkan bermula 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

Pengusaha premis diwajibkan melakukan proses nyah kuman di premis masing-masing secara berterusan. 




Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.