Sunday, 26 June 2022

Operasi AirAsia Japan ditutup, terjejas akibat COVID-19

  • Published in Nasional

TOKYO, 6 Oktober - AirAsia Group Berhad mengumumkan penutupan operasi AirAsia Japan Co Ltd berkuatkuasa semalam.

Pengarah Perwakilan dan Ketua Pegawai Operasi AirAsia Japan, Jun Aida dalam satu kenyataan berkata, COVID-19 telah memberi kesan ekonomi yang ketara dan berterusan kepada perniagaan di seluruh dunia termasuk syarikat berkenaan.

Sekatan perjalanan dan ketidaktentuan dicetuskan COVID-19 telah menjejaskan permintaan bagi perjalanan perniagaan serta pelancongan.

Keadaan itu menyebabkan pengurangan dan pembatalan penerbangan sekaligus memberi kesan kepada kemampuan syarikat untuk meneruskan operasi.

AirAsia Japan telah membatalkan semua penerbangan dan akan menghubungi pelanggan terjejas melalui e-mel dalam tempoh tujuh hari.

Penutupan hanya menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa dikendalikan AirAsia Japan di negara berkenaan.

Perkhidmatan antarabangsa ke Jepun, dari Malaysia, Thailand dan Filipina akan disambung semula pada masa hadapan selepas sekatan perjalanan ditarik balik dan sempadan Jepun dibuka semula.