Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Yang Dipertua Negeri Sabah minta tempoh tentukan calon paling layak

  • Published in Nasional


KOTA KINABALU, 27 September- 
Selepas kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, dua nama menjadi tumpuan, iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri, Datuk Hajiji Noor.

Kedua-dua pemimpin itu disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri negeri di bawah bayu.

Kira-kira pukul 2.47 petang tadi, Datuk Seri Bung Moktar Radin, memasuki perkarangan istana diikuti seminit kemudian oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Sejam kemudian, mereka dilihat keluar dari perkarangan istana.

Mengulas kehadiran ke istana, Datuk Seri Bung Moktar menjelaskan kepada media, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Juhar Mahiruddin, meminta tempoh bagi menentukan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Terdahulu, mereka menghadiri perjumpaan tertutup di Kota Kinabalu dipercayai bagi mengadakan perbincangan mengenai calon Ketua Menteri Sabah.

Pada PRU DUN Sabah semalam, GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah.