Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Penguat kuasa mengaku tidak bersalah terima suapan RM8,000 daripada peniaga

  • Published in Nasional

IPOH, 25 September - Seorang anggota penguat kuasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan menerima suapan RM8,000 daripada seorang peniaga, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, pembantu penguat kuasa agensi kerajaan itu didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM8,000 daripada seorang peniaga di parkir sebuah restoran di Ipoh, pada pukul 10.30 malam, 30 Mei 2017.

Dia turut didakwa bersetuju untuk menerima suapan RM8,000 daripada ahli perniagaan sama di Greentown, Ipoh, pada pukul 8.53 malam, 23 Mei 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai upah bagi menutup kes ahli perniagaan berkenaan yang disiasat bagi kesalahan menjual arak tiruan di dua premis miliknya di Ipoh.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

4 November ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.