Thursday, 24 September 2020

updated 2:00 PM UTC, Sep 24, 2020

Kerajaan Persekutuan adakan perbincangan, komited serah kuasa pembekalan elektrik, SESB kepada Sabah

  • Published in Nasional


KOTA KINABALU, 13 September- 
Kerajaan Persekutuan komited menyerahkan kuasa pembekalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Sabah.

Malah, menerusi inisiatif Kerajaan Persekutuan dengan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah, diyakini berupaya menggerakkan usaha penyerahan kuasa pembekalan elektrik serta SESB kepada Negeri Dibawah Bayu.

Dalam kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, beliau memaklumkan bahawa kementerian juga telah meneliti pakej pengambilalihan yang dicadangkan Kerajaan Negeri dan bersedia mengadakan rundingan selepas penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Beliau akan memastikan proses penyerahan dilaksanakan dalam keadaan teratur dengan meletakkan kebajikan rakyat Sabah sebagai keutamaan.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan mendengar taklimat di Pencawang Masuk Utama (PMU) Penampang oleh Pemangku Pengarah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah.

Projek berkenaan bertujuan menggantikan sistem voltan lama yang digunakan SESB, iaitu pertukaran daripada 66kV kepada 132kV yang lebih efisien.

Ia dianggarkan siap pada Mac tahun depan, dijangka berupaya mengurangkan gangguan bekalan elektrik serta membekalkan kapasiti tenaga yang lebih besar ke kawasan sekitar dengan kos senggaraan yang lebih optimum.