Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

Kerajaan setuju bentuk kumpulan khas penasihat anak muda

  • Published in Nasional

JOHOR BAHRU, 15 Ogos - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk membentuk kumpulan khas penasihat anak muda dalam usaha kerajaan memperkukuhkan landasan pembangunan golongan belia Malaysia.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bakal melantik seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia untuk Dewan Negara.

Keputusan yang diambil akui Tan Sri Muhyiddin hasil pertemuan beliau dengan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) baharu-baharu ini.

Komitmen Perdana Menteri ini dinyatakan pada perasmian sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor.

Kerajaan jelas Perdana Menteri, mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan belia di pelbagai peringkat, dan kerajaan sedang berusaha memperkukuh landasan pembangunan golongan belia.

Kementerian Belia dan Sukan juga telah menyalurkan dana bantuan kepada Majlis Belia Malaysia sebanyak RM7 juta.