Tuesday, 22 September 2020

updated 11:31 AM UTC, Sep 22, 2020

Kluster Sala terbaharu dikesan KKM

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 15 Ogos - Satu lagi kluster baharu dikesan iaitu Kluster Sala di Daerah Yan Kedah menjadikan empat kluster ke semuanya termasuk Kluster Sivagangga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan kes pertama kluster itu melibatkan individu warga tempatan dikesan positif pada 13 Ogos melalui sistem survelan klinikal (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Datuk Dr. Noor Hisham dalam kenyataan turut menjelaskan, tiga kes baharu dikesan daripada kluster itu kesemuanya ahli keluarga kepada kes pertama hasil saringan kontak rapat yang dijalankan sejak semalam.

Setakat hari ini 80 kontak rapat telah disaring, empat kes dikesan positif COVID-19 dan 76 individu masih menunggu keputusan.

Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan.

Bagi Kluster Tawar pula, 12 kes baharu dilaporkan hari ini, iaitu 10 kes di Kedah dan dua kes di Pulau Pinang menjadikan jumlah kes dikesan positif bagi kluster itu sebanyak 33 kes.

Seramai 657 individu telah disaring dalam kluster tersebut.

Bagi Kluster Muda, terdapat satu kes baharu dilaporkan menjadikan ke semuanya tiga kes.

Setakat hari ini 133 individu telah disaring dalam kluster tersebut.