Logo

Malaysia dan Arab Saudi perlu bekerjasama hasilkan vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 15 Ogos - Malaysia-Arab Saudi perlu berkongsi kepakaran serta bekerjasama dalam menghasilkan vaksin COVID-19.

Perkara itu antara perbincangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Perdana Putra, semalam.

Memaklumkan perkara itu di laman Facebook beliau, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mohammed bin Salman Al-Saud atas bantuan kepada Malaysia bagi menangani COVID-19.

Ini termasuk mempermudah proses penghantaran pulang rakyat Malaysia baru-baru ini.

Mahmoud Hussein pula menyampaikan penghargaan Arab Saudi kepada Malaysia atas perkongsian pengalaman serta kepakaran dalam menangani COVID-19.

Menyentuh isu kuota haji jemaah Malaysia, Tan Sri Muhyiddin menyuarakan hasrat supaya jumlahnya ditambah pada musim haji akan datang.

Tan Sri Muhyiddin juga menyambut baik kesediaan Arab Saudi untuk berbincang mengenai pengeksportan minyak sawit Malaysia ke negara itu.

Pada masa sama, mencadangkan agar Arab Saudi menjadi hab minyak sawit Malaysia di Asia Barat.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.