Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

Hari Belia Negara 2020 disambut dengan norma baharu

  • Published in Nasional


KUALA LUMPUR, 15 Ogos- 
Tahun lalu, Hari Belia Negara yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun, jatuh dalam bulan Ramadan.

Tahun ini, susulan pandemik COVID-19 selain masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tarikh sambutannya diadakan pada hari ini.

Menurut Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, walaupun sambutan Hari Belia Negara 2020 diadakan secara sederhana, dengan pembudayaan norma baharu, ia tetap meriah selain masih menitik beratkan penjarakan fizikal dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bertemakan ‘Dekad Ini Dekad Anda’, Hari Belia Negara 2020 kali ini lebih segar dan padat dengan pengisian program-program menarik walaupun negara masih dalam fasa pemulihan dari COVID-19.

"Kita lihat Sambutan Hari Belia ini sangat signifikan untuk memberi harapan, semangat dan motivasi."

"Ia menjadi perangsang kepada belia kerana belia adalah aset negara kita."

"Kita sandarkan pada belia untuk memastikan negara kita dapat dipacu dengan lebih cemerlang dalam pelbagai bidang dan saya lihat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat memberi penekanan, penghargaan dan pengiktirafan kepada para belia."

Ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, beliau berkata, usaha memperkasa golongan belia sentiasa dipertingkat dengan sokongan daripada semua pihak.

Datuk Mohd Rafiq yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihat MARA Corporation memaklumkan, pelbagai bantuan disediakan MARA kepada golongan belia seperti pembiayaan, pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.