Logo

SPRM tahan tiga penguatkuasa MBSA lindungi premis tanpa lesen

PUTRAJAYA, 11 Ogos - Tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah RM300 sehingga RM3,500 secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen sekitar daerah itu.

Kesemua mereka berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas mereka dipanggil untuk memberi keterangan pada 9 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

Selain itu, SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video itu, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.

Peniaga berkenaan telah beroperasi sejak 2019 dan dikatakan membayar wang rasuah RM300 ringgit sebulan kepada penguatkuasa, bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Pada Ahad, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42 tahun, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.