Tuesday, 29 September 2020

updated 2:43 PM UTC, Sep 29, 2020

Pilihan Raya PBT tidak akan diadakan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan diadakan memandangkan majoriti PBT belum bersedia untuk melaksanakannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, maklum balas daripada semua peringkat masyarakat turut diambil kira dalam membuat keputusan berkenaan.

Zuraida sebelum ini memaklumkan, kementeriannya menyasarkan untuk membentang usul pilihan raya PBT di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

Dua jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan berkenaan dan kertas kerja Kabinet mengenai usul tersebut masih di peringkat penyediaan.

Menjawab pertanyaan ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin, Zuraida turut memaklumkan kementeriannya menggalakkan PBT mengadakan mesyuarat secara terbuka.

Ia termasuk menyiarkannya secara langsung dalam platform digital bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat dan memberi maklum balas mengenai isu semasa di kawasan setempat.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri, kemampuan kewangan dan kapasiti ruang mesyuarat untuk tujuan liputan.