Logo

Projek Tambak Laut di Pulau Pinang tidak boleh dimulakan

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Projek Tambak Laut di Pulau Pinang (PSR) tidak boleh dimulakan.

Ini memandangkan projek berkenaan tidak mendapat kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Kementerian Alam Sekitar dan Air mengambil serius terhadap semua projek pembangunan terutamanya yang tertakluk kepada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

EIA merupakan salah satu keperluan perundangan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan proses EIA telah mendapat Pensijilan MS ISO 9001:2015.

Sehubungan itu, proses penilaiannya adalah ketat dan mengikut alam peringkat antarabangsa.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang ingin tahu sekiranya projek PSR diteruskan.

Jelas Datuk Tuan Ibrahim, projek berkenaan akan melibatkan kerja-kerja penambakan laut yang akan membentuk pulau buatan berkeluasan 1,821 hektar.

Projek itu telah mendapat bantahan pelbagai pihak kerana dikhuatiri akan menyebabkan kemusnahan kekal ke atas ekosistem daratan lumpur, kawasan tangkapan ikan dan pendaratan penyu.

Kemusnahan kekal akan memberi impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan dan bekalan sumber makanan negara.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status rayuan oleh nelayan supaya projek PSR tidak diteruskan, Datuk Ibrahim memaklumkan pihaknya sedang menunggu Pejabat Peguam Negara mewartakan pelantikan enam Ahli Lembaga Rayuan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.