Wednesday, 12 August 2020

updated 2:26 PM UTC, Aug 11, 2020

84,237 pelajar tingkatan 1 hingga 4 mulakan sesi persekolahan di Kelantan

  • Published in Nasional

 

KOTA BHARU, 15 Julai - Seramai 84,237 pelajar tingkatan satu hingga empat memulakan sesi persekolahan mereka di Kelantan hari ini.

Ia menjadikan kesemua sekolah menengah beroperasi sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan 140,715 orang.

Jumlah ini termasuk pelajar tingkatan lima dan enam yang menjalani sesi pembelajaran di sekolah masing-masing secara berperingkat sejak ia dibuka pada 24 Jun lepas.

Tinjauan RTM di SMK Dato’ Ahmad Maher Kota Bharu mendapati, pihak sekolah mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan kementerian, bermula di pintu masuk utama.

Kesemua 988 pelajar termasuk pelajar tingkatan satu hingga empat yang memulakan sesi persekolahan mereka hari ini juga tidak terkecuali daripada pematuhan SOP.

Selain mencuci tangan, suhu badan pelajar turut diambil dan direkod menerusi aplikasi datang.my.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBG SMK Dato’ Ahmad Maher, Profesor Dr Wan Hazabah Wan Hitam berkata, kehadiran pelajar melebihi 90 peratus dan beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang dilaksanakan.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sesi persekolahan pelajar di SMK Dato' Ahmad Maher, Kota Bharu hari ini.

Tambahnya,selain penetapan 25 hingga 30 orang murid mengikut saiz kelas, pihak sekolah juga akan membuat pengumuman berunsur peringatan tiga kali sehari mengenai kepentingan mengamalkan SOP serta normal baharu.

Bagi memastikan semua pelajar dan ibu bapa jelas mengenai normal baharu yang perlu diamalkan, PIBG dan pihak sekolah mengambil inisiatif awal dengan memberi penerangan secara dalam talian.

Ia dilakukan secara berasingan mengikut tingkatan.

Malah setiap pergerakan di sekolah khususnya ketika berada dalam kelas dan kantin akan dipantau oleh guru bertugas.