Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

COVID-19: Kluster syarikat kejuruteraan, 2 disahkan positif

  • Published in Nasional

 

PUTRAJAYA, 12 Julai - Satu kluster baharu COVID-19 dikesan di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan, setakat 12 tengahari tadi, 2 kes positif dilaporkan dalam kluster ini.

Kes pertama kluster ini melibatkan seorang pekerja syarikat tersebut yang mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai setelah mengalami gejala pernafasan.

Beliau disahkan positif pada hari sama.

Susulan itu, siasatan dan proses saringan kontak rapat dijalankan, melibatkan 32 individu dikenalpasti dan disaring.

16 daripadanya merupakan rakan sekerja, manakala selebihnya adalah ahli keluarga.

Hasilnya, 1 kes dikesan positif COVID-19, 16 negatif dan 15 kes lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, 8 kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor.

Ia menjadikan kes positif dalam kluster itu setakat ini, sebanyak 72 kes.

Kesemuanya melibatkan individu bukan warganegara.

8 kes baharu itu antara 115 Orang Kena Tahan (OKT) yang disaring Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini merupakan saringan ulangan, iaitu saringan kontak rapat ke atas 115 OKT yang ditempatkan di Blok C DTI Sepang, pada 10 Julai.

Mereka sebelum ini telah diasingkan di dalam DTI Sepang, dan kes positif dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Justeru, ianya tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat.

Berdasarkan data KKM, 1,477 individu dalam kluster DTI Sepang telah disaring.

Jelas Datuk Dr. Noor Hisham, proses pembersihan dan sanitasi telah dilakukan di premis berkenaan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.