Friday, 14 August 2020

updated 2:26 PM UTC, Aug 14, 2020

4 Bot nelayan asing bersama 47 nelayan warga Vietnam ditahan - APMM

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM mengesan tindakan nelayan asing menggunakan modus operandi, menyamar sebagai bot nelayan tempatan dan mengibarkan bendera Malaysia.

Malah tidak kurang juga tindakan segelintir pemilik lesen bot warga tempatan membuat pajakan bot masing-masing kepada nelayan asing.

Mengesahkan mengenai pelakuan tidak bertanggungjawab itu, Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dengan menyatakan kegiatan dikesan di lokasi berbeza pada jarak 118 hingga 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Serentak dengan itu, empat bot nelayan asing ditahan bersama 47 nelayan termasuk tekong warga Vietnam.

Turut dirampas, hasil laut, bekalan diesel, bot serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir lima juta ringgit.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya empat kru memiliki passport manakala yang lain tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 57 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985, manakala kru disiasat di bawah Akta Imigresen.