16 Ahli 'Geng Husen Maungdaw' ditahan, seludup migran, samun berkumpulan

GEORGE TOWN, 2 Julai - 3 lelaki tempatan termasuk Pegawai Imigresen Kedah bersama 13 lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Husen Maungdaw’.

Mereka berusia 26 hingga 55 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di daerah Timur Laut pada September 2019 hingga Jun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini dilaporkan kejayaan polis menumpaskan tiga kumpulan jenayah terancang terbesar di negara ini yang disyaki turut terlibat dalam penyeludupan migran dan samun berkumpulan dengan menahan 111 ahli kumpulan itu.

Turut ditahan, ketua ketiga-tiga kumpulan itu, iaitu Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw.