Wednesday, 26 January 2022

updated 12:21 PM UTC, Jan 26, 2022

PRK DUN Chini guna SOP khas

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 16 Jun - Prosedur Operasi Standard (SOP) khas untuk pilihan raya akan digunapakai sepanjang Pilihan Raya Kecil DUN Chini, Pahang yang dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya SPR, Datuk Azhar Azizan Harun melalui kenyataan memaklumkan, SOP berkenaan termasuk pematuhan kepada penjarakan sosial, pemakaian pelitup separuh muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan saringan suhu badan.

SOP khas itu akan dilaksanakan secara ketat di semua peringkat proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen, pada hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Ketika proses penamaan calon, calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama para penyokong atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.

Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.

Aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi juga tidak dibenarkan.

Kempen digalakkan mengunapakai medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

Mereka akan diuruskan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

SPR akan mengemaskini SOP ini selaras arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Maklumat lanjut mengenai SOP ini boleh didapati dari laman sesawang SPR iaitu www.spr.gov.my.