Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Kes saman fitnah selesai, Azwanddin akan mohon maaf kepada Waytha Moorthy

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah difailkan P. Waytha Moorthy terhadap Datuk Azwanddin Hamzah berhubung ucapan dalam satu perhimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Klang, Disember lalu, selesai.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu bersetuju untuk membuat permohonan maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan. 

Peguam Annou Xavier, yang mewakili Waytha Moorthy memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Azwanddin akan membuat satu permintaan maaf kepada plaintif yang diterbitkan di tiga laman berita iaitu Berita Harian, Makkal Osai dan di Facebook defendan.

Juga, akan membayar kepada plaintif  sebanyak 90 ribu ringgit sebagai ganti rugi am dalam masa 30 hari.

Beliau turut dilarang mengulang semula kenyataan yang digunakan itu di mana-mana media, sama ada bercetak atau atas talian.