Saturday, July 11, 2020

updated 8:59 AM UTC, Jul 11, 2020

Kes SRC International: Pasukan pembelaan mulakan hujahan lisan pada akhir kes pembelaan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Mahkamah Tinggi hari ini mula mendengar hujahan pembelaan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, 42 juta ringgit melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tempoh tiga hari ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak yang kini memasuki peringkat akhir kes pembelaan.

Prosiding bermula pada 9.40 pagi dengan hujah pembelaan dimulakan peguam bela, Harvinderjit Singh.

Dalam hujahannya, pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Datuk Seri Mohd Najib melakukan pecah amanah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Jelasnya, pihak pendakwaan telah menyimpang dari teori asal mereka dan membina kes dari pengakuan Datuk Seri Najib semasa pembelaan di mahkamah.

Tambahnya, keseluruhan kes dibuat berdasarkan jawapan balas yang ternyata bukan bukti besar.

Terdahulu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi pada perbicaraan pembelaan yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Disember tahun lalu

Manakala, pendakwaan memanggil 55 saksi sejak perbicaraan bermula 3 April tahun lalu

Hujahan lisan kes bersambung untuk hari kedua esok.