Friday, July 3, 2020

updated 2:24 PM UTC, Jul 3, 2020

Sambutan Hari Gawai: Harmoni dan toleransi tunjang perpaduan Sarawak

  • Published in Nasional

KUCHING,1 Jun - Rakyat Sarawak harus berbangga dengan keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini, hasil toleransi serta semangat saling mempercayai dalam kalangan rakyat yang terdiri pelbagai suku kaum, budaya dan agama.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud mengakui, keunikan itu merupakan kekuatan Bumi Kenyalang yang menjadi tunjang perpaduan serta kestabilan politik di Sarawak agar terus dipelihara.

Justeru, beliau berharap semangat itu terus kekal teguh dengan acuannya tersendiri.

Tun Abdul Taib menyatakan demikian menerusi perutusan Gawai Dayak 2020.

Dalam masa sama, Yang di-Pertua Negeri juga mahu rakyat Sarawak mempersiapkan diri untuk merebut peluang perniagaan dan pekerjaan yang akan wujud hasil pelbagai bentuk pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terutama dalam industri berasaskan pertanian.

Beliau bagaimanapun mengakui ia memerlukan pengetahuan serta kemahiran tertentu yang menuntut rakyat khususnya generasi baharu, mendapatkan latihan yang relevan.

Tun Abdul Taib turut menambah, walaupun sambutan Gawai Dayak tahun ini diraikan dalam suasana berbeza kesan pandemik COVID-19, namun, beliau percaya keadaan tersebut masih boleh menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat khususnya masyarakat Dayak, bahawa masa hadapan anak Sarawak adalah ' terikat bersama' tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama, dalam usaha membawa Bumi Kenyalang ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih adil dan saksama.