Logo

McDonald's Malaysia beri sumbangan kepada lebih 63,000 petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Pengorbanan petugas barisan hadapan negara dalam merawat dan memerangi wabak COVID-19 terus mendapat perhatian dan pengiktirafan pelbagai pihak. 

McDonald's Malaysia turut tidak ketinggalan memberi pengiktirafan dan menyelami tugas dalam keadaan sukar dengan memberikan sumbangan.

Ia termasuklah tajaan makanan kepada 50 buah hospital di seluruh negara.

Wartawan Nazarrudin Abu Zamil ada laporannya.

Tidak hanya petugas hospital dan kesihatan, tajaan makanan secara berkala yang di sumbangkan McDonald's Malaysia turut diberikan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP.

Ia secara langsung memberi manafaat kepada lebih 63,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara yang bertungkus-lumus dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai menyatakan, telah menjadi budaya syarikat untuk meringankan beban mereka yang memerlukan apatah lagi ketika dunia sedang melalui saat saat mencabar melawan COVID-19.

Di ibu negara, Mcdonald's Titiwangsa mengagihkan tajaan makanan setiap hari isnin kepada lebih 100 petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.

Inisiatif ini ternyata membolehkan para petugas dapat menggunakan masa rehat mereka dengan sebaik mungkin tanpa perlu keluar atau beratur mencari makanan terutama kepada petugas beragama islam untuk berbuka puasa di bulan Ramadan.

McDonald's Malaysia juga telah memulakan kempen mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu padu semasa tempoh PKP melalui platform media sosial.

Ia bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan perjuangan rakyat Malaysia dalam memutuskan rantaian COVID-19.

Kempen ini secara langsung mengetengahkan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus bekerja ketika rakyat Malaysia duduk di rumah sepanjang PKP.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.