Logo

Perlis bakal laksana solat Jumaat di 102 masjid mengikut syarat dikeluarkan MAIPs

ARAU, 12 Mei - Perlis bakal melaksanakan solat Jumaat di 102 masjid berpandukan syarat yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat (MAIPs) selepas mendapat perkenan Tuanku Raja Muda Perlis.

Menerusi tatacara pelaksanaannya, ditetapkan 12 individu dibenarkan termasuk imam dan kesemua mereka perlu menjalani saringan pemeriksaan suhu badan.

Selain itu mereka juga perlu mengambil wuduk dari rumah , memakai penutup hidung dan mulut serta mematuhi jarak sosial satu meter. 

Keputusan yang dibuat jelas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berlandaskan mazhab yang membenarkan solat jumaat dalam keadaan tertentu terutama melaksanakan syariat solat jumaat ketika covid-19. 

Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Penyerahan Pengimbas Suhu kepada masjid yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed faizuddin Putra Jamalullail di istana Arau.

Solat jumaat yang bermula 15 Mei ini, digalak dilakukan di kawasan lapang dan terbuka serta jangka masa solat diringkaskan kepada 15 minit.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.