Logo

PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwa 


KUALA LUMPUR, 3 Mei - 
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohd Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Perdana Menteri, menerusi laman Facebook miliknya, menzahirkan rasa sedih dengan berita tersebut dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

Beliau berharap agar tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan barisan hadapan yang lain dalam menjalankan tugas.

Tan Sri Muhyiddin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Kira-kira pukul 2 pagi tadi, Allahyarham Safwan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh dan dihempap sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki, yang hilang kawalan melanggar sekatan jalan raya.

Siasatan awal punca kemalangan dipercayai akibat pemandu terbabit yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

 

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.