Tuesday, 29 November 2022

Pelan Pemulihan Usahawan Pasca COVID-19 dibuat secara dua fasa

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 3 Mei - Pelan Pemulihan Usahawan Pasca COVID-19 akan dilaksana menerusi dua fasa bagi memastikan kelestarian dan pemulihan operasi usahawa yang terjejas kerana Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM372.8 juta.

Fasa pertama bermula bulan Mei hingga Disember 2020 manakala fasa kedua melibatkan tempoh Januari hingga Mei 2021.

Pelan berkenaan melibatkan enam strategi utama yang mengandungi 30 inisiatif seperti meningkatkan akses dan bantuan pembiayaan serta memperluaskan pasaran.

Selain itu, kementerian menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional turut menyediakan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro.

Sehingga 30 April sebanyak 5,684 permohonan telah diluluskan melibatkan pembiayaan berjumlah RM47.6 juta.

Bagi Dana Pinjaman Mudah PKS pula, lebih RM4 juta telah diluluskan kepada 8 ribu pengusaha PKS di seluruh negara.

Usahawan yang memerlukan khidmat nasihat pula, boleh berhubung dengan agensi berkaitan seperti SME Bank, Bank Rakyat, SME Corp dan latihan usahawan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).