Wednesday, November 20, 2019
updated 11:04 AM UTC, Nov 20, 2019

1MDB : Soalan tiada hala tuju pihak pembelaan dibantah pendakwaraya : Saksi utama sudah 14 hari jawab soalan yang kebanyakannya tidak rasional

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Prosiding perbicaraan kes 1MDB terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, menyaksikan bentuk soalan pihak pembelaan dibantah pendakwaraya.

Bantahan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram terhadap corak pemeriksaan balas pasukan pembelaan terhadap saksi utama, iaitu bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Tegas Datuk Seri Gopal, pasukan pembelaan sepatutnya menyoal secara rasional dan punya hala tuju.

Pemeriksaan balas terhadap Datuk Shahrol Azral bermula 7 Oktober lalu.

Saksi itu sudah memberi keterangan selama 20 hari dengan 14 hari daripadanya menjawab soalan pihak pembelaan.

Namun pihak pembelaan menjelaskan, mereka ingin tahu sama ada Datuk Shahrol dan pihak lain sengaja berpakat dengan Jho Low.

Terdahulu, Datuk Shahrol tidak bersetuju dengan kenyataan pihak pembelaan, yang Lembaga Pengarah 1MDB sebenarnya mencadangkan Datuk Seri Najib menandatangani perjanjian bagi pelaburan tambahan RM1 bilion  dalam projek usahasama 1MDB-Petrosaudi.

Datuk Seri Najib turut menandatangani satu perjanjian untuk pelaburan tambahan melalui Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Mengenai bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo , Datuk Shahrol memberitahu yang dia tidak pernah menghubungi Jasmine, dan percaya Jasmine bersembunyi selepas kes 1MDB terbongkar.

Perbicaraan bersambung minggu depan.