Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Pil Erimin 5 Bernilai Rm7.9 Juta Dirampas

  • Published in Nasional

George Town - Sejumlah 526,800 pil erimin 5 bernilai RM7.9 juta dirampas di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata kesemua pil yang dirampas dalam serbuan pukul 11 pagi itu dibalut dengan plastik hitam dan foil aluminium yang diletakkan dalam 10 kotak.

Beliau berkata kotak itu yang diisytihar mengandungi beg tangan dikirim dari luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Jan lepas.

"Kotak itu tiba di Pulau Pinang pada keesokannya (13 Jan)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pekerja kargo lapangan terbang di sini yang curiga dengan kandungan kotak itu membuat laporan polis selepas lima hari ia tidak dituntut ejen.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan pil itu dihantar sindiket pengedaran dadah antarabangsa kepada rangkaiannya di Pulau Pinang untuk pasaran di negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur.

Guan berkata polis juga telah mengenal pasti ejen yang sepatutnya mengambil semua kotak itu dan akan mengesan pemiliknya bagi membantu siasatan.

"Ejen itu beralamat di Pulau Pinang dan saya percaya ini bukan kali pertama sindiket pengedaran dadah berkenaan menggunakan cara sedemikian untuk menghantar bekalan pil tersebut," katanya.