Wednesday, May 27, 2020

updated 8:43 AM UTC, May 27, 2020

Skim Kredit Mikro Sarawak untuk usahawan terkesan PKP

  • Published in Nasional

KUCHING, 31 Mac - Peruntukan RM50 juta diluluskan Sarawak bagi pelaksanaan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) untuk meringankan beban dan memudahkan usahawan di negeri itu yang terkesan dengan PKP. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, RM20 juta daripada peruntukan berkenaan ialah peruntukan tambahan untuk skim berkenaan yang diumumkan melalui pakej 'Bantuan Khas Sarawakku Sayang'.

SKMS membantu 62,000 usahawan kecil dan sederhana, menerusi skim pinjaman mudah untuk kumpulan B40, mikro dan usahawan kecil yang mempunyai akses terhad terhadap sumber modal tradisional.

SKMS 1 menyediakan pinjaman atau pembiayaan serendah RM1,000 hingga RM10,000, tanpa kadar faedah atau kadar keuntungan kepada usahawan B40.

Manakala SKMS 2 untuk pinjaman atau pembiayaan RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah atau kadar keuntungan 4 peratus, berdasarkan baki bulanan berkurangan kepada usahawan mikro dan kecil.

Permohonan boleh dilakukan mulai esok secara dalam talian di laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak serta Agrobank.