Wednesday, May 27, 2020

updated 8:43 AM UTC, May 27, 2020

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah hampir siap

  • Published in Nasional



SERDANG, 31 Mac
- Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kini di fasa akhir persiapan mendepani sebarang kemungkinan penularan berlarutan COVID-19.

Pusat berkenaan diwujudkan bagi menempatkan pesakit COVID-19, sekiranya jumlah kes positif wabak melebihi 1,000 kes sehari.

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

Pusat tersebut juga mampu menempatkan sehingga 600 pesakit COVID-19 berisiko rendah pada satu-satu masa.

Antara perkhidmatan disediakan di pusat ini ialah perkhidmatan klinikal, wad pesakit, ruang menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, ambulans, farmasi, imbasan sinar X dan makmal patologi.

Fasiliti lain meliputi katil, meja, kerusi, loker, televisyen, ruang santai, kemudahan WiFi, komputer, surau, kamera litar tertutup (CCTV), tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirahat.

Bagi anggota yang bertugas, pusat ini turut menyediakan kaunter jururawat, bilik rawatan dan kecemasan, ruang rehat petugas, bilik persalinan dan ruang mandi, Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) serta ruang mesyuarat dan seminar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meninjau pusat tersebut, menzahirkan rasa puas hati beliau dengan tahap persediaan dilakukan, sekiranya wabak COVID-19 memasuki gelombang ketiga.