Tuesday, November 19, 2019
updated 4:30 AM UTC, Nov 19, 2019

Hargai pengorbanan dan bakti veteran tentera : Sumbangan lebih RM9 juta berjaya dikutip untuk tabung pahlawan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Kempen Tabung Pahlawan, KTP 2019 yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak September lalu berjaya mengutip sumbangan lebih RM9 juta sekaligus melebihi sasaran RM6 juta.

Kutipan ini membuktikan rakyat negara ini sentiasa menghargai pengorbanan dan bakti yang dicurahkan golongan veteran tentera yang banyak berjasa kepada negara.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menjelaskan, pelbagai kempen dan promosi telah dilaksanakan bagi mencapai objektif yang ditetapkan dan ianya telah mendapat sambutan baik terutama dari sektor korporat.

Mana mana syarikat yang menyalurkan sumbangan akan diberi penolakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dibawah seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini menjadi faktor utama banyak syarikat dalam sektor korporat menyalurkan sumbangan seterusnya menyokong KTP yang ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM.

Mohamad Sabu berkata demikian dalam ucapan pada majlis Makan Malam Amal KTP 2019 di Wisma Perwira Kementerian Pertahanan.

Pada Majlis ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri yang juga penaung KTP, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut hadir meraikan dan menghargai para penyumbang kepada KTP.

Tun Siti Hasmah membuat persembahan istimewa dengan gesekan biola yang memukau hadirin yang hadir dengan mempersembahkan empat buah lagu termasuk Pahlawanku dan Selendang Sutera dan diiringi suara merdu Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Kombo Seni Udara Tentera Udara Diraja Malaysia.