Tuesday, November 19, 2019
updated 6:07 AM UTC, Nov 19, 2019

Visi Malaysia jelas : Menjadi negara maju yang inklusif dan tiada pihak yang ketinggalan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Malaysia mahu jadi sebuah negara maju yang inklusif tanpa ada pihak yang ketinggalan.

Jelas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, visi Malaysia adalah jelas, dan semua rakyat Malaysia mesti berkongsi kemakmuran negara yang semakin meningkat dan masyarakat turut serta dalam pembangunan negara.

Tun Dr. Mahathir berkata, walaupun kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan semua kumpulan, etnik, sama ada di bandar, luar bandar atau negeri usaha juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kemahiran rakyat dalam pelbagai sektor.

Perkara paling utama adalah untuk memberikan kehidupan yang baik kepada semua rakyat di negara ini dan mendapatkan kembali status Malaysia sebagai Harimau Asia.

Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS PRAXIS anjuran Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa Malaysia, bertajuk 'Malaysia Beyond 2020' di ibu negara.

Tegas Perdana Menteri, Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 merupakan strategi nasional, pelan induk dan pelan tindakan yang melangkaui pembangunan ekonomi.

Ia memberi penekanan yang sama ke arah mengubah politik, institusi, masyarakat, intelektual, emosi dan pembangunan rohani yang setara dengan apa yang dinikmati oleh negara maju lain.

Tambah Tun Dr. Mahathir, beberapa sasaran tidak dapat dicapai menjelang tahun 2020, tetapi ia tidak ditinggalkan.