Tuesday, November 19, 2019
updated 5:05 AM UTC, Nov 19, 2019

Agong berangkat ke Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di Pusat Komuniti Pantai Eco-Park, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Ia bersempena Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke majlis anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut disambut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamad Fadzil.

Sultan Abdullah berkenan mengurniakan zakat kepada golongan asnaf di kawasan setempat di Pusat Komuniti Pantai Eco-Park tersebut yang juga lokasi terakhir Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan.

Bantuan terdiri daripada pakaian sekolah kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, bantuan am persekolahan sebanyak RM9.82 juta dan bantuan am pelajaran IPT berjumlah RM12.45 juta.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan bantuan keperluan harian kepada 500 asnaf yang hadir.

Menerusi program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019, sebanyak 100 buah motosikal berkuasa tinggi dan 20 buah teksi penerima bantuan zakat Baitulmal-MAIWP yang juga menerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi berkonvoi dalam perjalanan sejauh 35.9 kilometer.

Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan merupakan salah satu inisiatif bagi hebahan mengenai usaha MAIWP dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan khususnya menerusi program agihan zakat.