Saturday, April 4, 2020

updated 10:38 AM UTC, Apr 4, 2020

YDP Agong dan Permaisuri jalani saringan COVID-19

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjalani saringan COVID-19 di Istana Negara dan disahkan negatif wabak itu.

Ia berikutan, tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif COVID-19 dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak 24 Mac lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini sedang menjalani kuarantin selama 14 hari bermula semalam.

Tujuh kakitangan yang positif turut dikuarantin serta kontak rapat mereka diarah menjalani saringan ujian.

Jelas Datuk Ahmad Fadil lagi, Yang Dipertuan Agong disarankan untuk tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi mesyuarat Pra-Kabinet yang dijadual berlangsung semalam.

Beliau turut memaklumkan, pihak pengurusan Istana Negara telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh mengikut garis panduan dari Kementerian Kesihatan.