Logo

Berpuluh-puluh premis dan penjaja di Alor Setar diberi notis ingkar waktu operasi sepanjang PKP

 

ALOR SETAR, 26 Mac - 34 premis perniagaan dan 30 penjaja di Alor Setar dikenakan notis selepas didapati tidak mematuhi perintah larangan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

Notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam Operasi Pemantauan Had Masa Perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, malam tadi.

Turut dikeluarkan, 1 notis kompaun di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap seorang peniaga yang tetap berdegil meneruskan perniagaan walaupun diarah tutup sebelum itu.

MBAS mengarahkan waktu operasi perniagaan bagi sektor-sektor tertentu diubah bermula 23 Mac hingga 31 Mac.

Antaranya, premis menjual makanan dan minuman yang dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam.

Kedai runcit dari 7 pagi hingga 8 malam dan pasar raya bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Manakala pasar awam dan penjaja yang menjual barang basah dan keperluan dapur di kawasan pasar awam bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari.

 

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.