Tuesday, 17 May 2022

Kronologi pergolakan politik tanah air sejak semalam

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 24 Feb - Landskap politik negara mula tercetus sejak semalam apabila pemimpin-pemimpin parti politik utama negara masing-masing mengadakan mesyuarat berasingan.

Ini termasuk pihak pembangkang; sekaligus mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak yang masih belum jelas hala tuju politik negara.

Hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya kira-kira pukul 9.25 pagi.

Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun Tun Dr. Mahathir tidak berada di pejabatnya sehingga pemimpin-pemipin itu bergerak ke kediaman Perdana Menteri di The Mines, Seri Kembangan.

Setelah pertemuan lebih 2 jam; kenderaan membawa Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah meninggalkan kediaman berkenaan sekitar 12.25 tengah hari.

Datuk Seri Anwar yang ditemui media berkata beliau puas hati dengan penjelasan Tun Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, Pemimpin PKR dan DAP turut mengadakan mesyuarat di ibu pejabat masing-masing.

Bagaimanapun pada pukul 1 tengah hari; negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BERSATU.

Kira-kira pukul 2 petang; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saiffudin Nasution mengesahkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat sebagai Ahli PKR serta merta.

Pada masa yang sama, 9 lagi ahli parlimen PKR turut mengisytihar keluar daripada parti bagi membentuk blok bebas di Parlimen.

Pada pukul 2.30 petang dilaporkan Datuk Seri Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pada pukul 4.30 petang pula Tun Dr Mahathir tiba di Istana Negara dengan melalui pintu utama.