Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Lapan PATI warga Indonesia berjaya ditahan PPM di perairan Pulau Kukup, Pontian

  • Published in Nasional

PONTIAN - Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia lima tahun berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Kukup, Johor di perairan Pulau Kukup, Pontian.

Dalam kejadian kira-kira 11.00 malam tadi, PPM berjaya memintas bot pancung di bawah kendalian seorang tekong berusia 30 tahun dan seorang awak-awak berusia 29 tahun.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superitendan Noor Azman Jamal berkata, bot pancung yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu disyaki cuba keluar menuju ke Indonesia.

Hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut menyeludup keluar PATI dari Malaysia melalui jalan yang tidak sah.

Sebuah bot pancung bersama enjin sangkut turut dirampas.

Manakala kesemua tangkapan dibawa balik ke jeti PPM W2 Kukup.

Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.