Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

PPM tahan lelaki warga asing disyaki seludup petrol ke Filipina

  • Published in Nasional

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan merampas 800 liter minyak petrol disyaki untuk diseludup ke Filipina menerusi satu serbuan ke atas sebuah rumah di pondohan kawasan bakau di Pulau Bohey Dulang, Semporna, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali dalam kenyataan berkata, lelaki berumur 23 tahun itu ditahan hasil intipan dan maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM).

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah membawa 32 jerikin berisi petrol sedikit demi sedikit dari pekan Semporna dan dikumpul di sebuah kawasan hutan bakau yang sukar dilalui dan dilihat orang awam sebelum membawa bekalan terbabit ke Filipina.

Katanya, dalam serbuan itu, selain minyak petrol, PPM turut merampas sebuah bot yang digunakan untuk memunggah barangan terbabit dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM16,164.

Menurut ACP Mohamad Pajeri, kes akan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan-Peraturan kawalan bekalan iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda satu juta perseorangan dan penjara tiga tahun.