Wednesday, November 20, 2019
updated 11:04 AM UTC, Nov 20, 2019

Lapan Pensyarah Sertai Pelayaran Saintifik 4,000 KM Ke Benua Antartika

  • Published in Nasional

Shah Alam - Sekumpulan lapan pensyarah dari enam universiti awam dan swasta akan menyertai pelayaran saintifik selama 22 hari ke benua Antartika bermula Isnin depan, bagi melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

Program 'Ekspedisi Penyelidikan Antartika Malaysia 2016' dengan kos RM450,000 merupakan penjelajahan pertama dibiayai geran penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) ke benua berkenaan dan mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Lapan pensyarah berkenaan ialah Dr Mohamad Huzaimy Jusoh dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Goh Thian Lai dan Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr Emienour Muzalina Mustafa dari Universiti Malaya (UM).

Dr Mohd Rauhan Wan Hussin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Foong Swee Yeok dan Muhamad Hilal Mohd Zainudin dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta Aniqah Zulfa Abdul Latif dari International Medical University (IMU) juga menyertai ekspedisi itu.

Kumpulan itu akan berlepas ke Argentina esok dan dijangka memulakan pelayaran sejauh 4,000 kilometer dari Pelabuhan Ushaia di negara itu pada Isnin depan sebelum kembali ke tanah air pada 14 Feb ini.

Ketua ekspedisi yang juga pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Dr Mohamad Huzaimy berkata ekspedisi itu memilih untuk menggunakan kapal layar sepanjang 22 hari di benua berais itu.

Ini kerana, kapal layar dilihat lebih relevan dalam melakukan aktiviti persampelan malah, ia mudah mengakses kawasan tertentu yang terlibat dalam kajian saintifik masing-masing.

"Kapal layar yang digunakan adalah 'Yacht Autralis' milik Australia. Ia menyediakan tiga anak kapal bagi membantu kumpulan kami mengemudinya sepanjang ekspedisi ini nanti," katanya .