Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

MAQIS Pulau Pinang rampas 750kg serbuk kuning telur tanpa permit

  • Published in Nasional

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas serbuk kuning telur dari India yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah seperti tiada import permit (IP) di Pelabuhan Dermaga Dalam (DAD) di sini semalam.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Zarina Ramli dalam kenyataan berkata pihaknya membuat pemeriksaan pukul 5 petang dan mendapati sebanyak 750 kilogram (kg) serbuk kuning telur dianggarkan bernilai RM17,909.66 cuba dibawa masuk tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Sementara itu, Zarina berkata pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen yang sah seperti IP dan sijil kesihatan dari negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan sepanjang bulan Julai sehingga semalam, pihaknya telah membuat rampasan pelbagai daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu dan kambing dengan anggaran berat sebanyak 80 kg.

Semua rampasan itu dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, katanya.