Monday, August 26, 2019
updated 4:59 AM UTC, Aug 26, 2019

Tan Sri Muhyiddin ucap takziah buat keluarga Nora Anne

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - ​​​​​Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga kepada Nora Anne Quoirin yang ditemui mati semalam selepas dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lepas.

Beliau menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian termasuk pasukan sukarelawan.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada 1.57 tengah hari dan kemudiannya disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne,15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.