Monday, 16 May 2022

Kementerian Kewangan sedia kaji semula peruntukkan Kementerian Pertahanan

  • Published in Nasional

ALOR SETAR - Kementerian Kewangan sedia mengkaji semula peruntukkan kepada Kementerian Pertahanan bagi memberi keutamaan kepada pembelian aset-aset pertahanan yang mendesak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata perkara itu amat penting kerana kerajaan tidak boleh mempertaruhkan nyawa anggota keselamatan yang terpaksa menggunakan peralatan dan pesawat yang sudah uzur.

Menurut Datuk Amiruddin, pembelian aset baharu tentera memerlukan perancangan yang teliti dan mengambil kira semua aspek termasuk kos penyelenggaraan yang tinggi.

Katanya setiap aset dan pesawat baharu yang mahu dibeli juga harus mengambil kira jenama alat ganti yang sama selain boleh digunakan secara optimum.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Sentuhan Kasih Asnaf Peringkat Negeri Kedah anjuran Persatuan Generasi Sejahtera atau i-Sejahtera di Alor Setar.

Datuk Amiruddin mengulas kejadian Helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terpaksa mendarat cemas di dalam kem Gubir dekat Sik,Kedah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, empat kru dan 11 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera ringan dan dirawat pasukan perubatan tentera di dalam kem terbabit.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku disebabkan masalah ekanikal membabitkan rotorkipas helikopter berkenaan yang tidak dapat berfungsi dengan baik.