Thursday, November 14, 2019
updated 3:34 PM UTC, Nov 14, 2019

Wanita kurang siuman ditahan simbah asid - POLIS

  • Published in Nasional

 

PULAU PINANG - Seorang wanita dipercayai kurang siuman, ditahan selepas bertindak menyimbah asid ke arah anak saudaranya sebelum melakukan tindakan serupa kepada pihak berkuasa.

Kejadian berlaku di Taman Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, petang semalam.

Ketua Polis daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, mengesahkan mengenai insiden yang berlaku kira-kira pukul 5 petang.

Anak saudara suspek telah menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai ibu saudaranya, berusia 51 tahun dalam keadaan marah, sebelum bertindak lebih agresif dengan menyimbah asid kepada mangsa.

Suspek sebelum ini pernah menerima rawatan sakit mental, dan bimbang perkara lebih buruk berlaku, pihak polis dihubungi.

Bagaimanapun, ketika anggota polis tiba, wanita berkenaan membaling tiga bilah pisau sebelum memandu kereta miliknya.

Satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta suspek, dan wanita berkenaan, kemudian ditahan serta dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut.

Tiga bilah pisau, turut dirampas.