Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

15 jenazah Orang Asli dikebumikan secara Islam hari ini

  • Published in Nasional

GUA MUSANG - 15 Orang Asli suku kaum Bateq akan dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Mereka ialah Meknab Tebu, 63, Jais Keladi, 55, Romi Hamdan, 29, Leha Hamdan, 26, Haika Rahim, 22, Poja Jong, 21, Farah Rahim, 20, Fayah Papan, 20, Safia Papan, 18, Din Hamdan, 18, Puspa Lie, 5, Nasri Rosli, 3, Mohd. Saleh Khaizan, 1, Amir Lie, 1, dan Jelik Jong yang usia tak dikenal pasti.

Terdahulu pada kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Gua Musang pada pukul 8.30 pagi ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk disembahyangkan.

Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Tu Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Othman Saufi.

Lebih 20 wakil agensi berkaitan turut menunaikan solat jenazah.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Agama Maik, Murtadha Abdullah, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin dan Ketua Cabang PKR Gua Musang, Zulqarnain Zakaria.

Kemudiannya, pada pukul 9 pagi jenazah dibawa ke kampung halaman mereka menggunakan enam kenderaan jenazah dan dijangka tiba di Kampung Kuala Koh kira-kira satu jam setengah selepas itu.

Kesemua jenazah itu dijangka selamat dikebumikan mengikut adat agama Islam pada pukul 12 tengah hari.

((RTM KELANTAN/TUAN NUR AIMUNI))