Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

14 individu disyaki hidap penyakit chikungunya di Alor Setar

  • Published in Nasional

ALOR SETAR - Seramai 14 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di Alor Setar , Kedah disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Setar yang tidak menerima sebarang maklumat berkaitan kes tersebut telah menjalankan siasatan segera selepas kes itu tular di media sosial semalam.

Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lepas di mana kebanyakan mereka telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan telah mengesyaki mereka yang berumur antara 35 hingga 50 tahun itu berkemungkinan menghidap penyakit chikungunya, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari penyakit lain,"

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menyatakan siasatan lanjut masih sedang dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor.

Buat masa ini, PKD sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan termasuk membuat pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kes itu akan dihebahkan dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan mengelak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Beliau juga menggesa semua pihak terutama masyarakat setempat mengambil tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah jangkitan chikungunya , denggi dan zika .