Thursday, August 22, 2019
updated 12:32 PM UTC, Aug 22, 2019

Tun M dan isteri rafak sembah takziah kepada Agong

  • Published in Nasional

                                                                                       Foto : BERNAMA

KUALA LUMPUR -  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh anggota keluarga serta kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah, hari ini.

Ucapan itu dizahirkan menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Baginda mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pada 8.50 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu sidang media di Kuantan, Pahang, berkata jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah akan dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan pada petang ini.

Sallehuddin berkata jenazah akan dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan dan rakyat yang ingin menziarah dan memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian bermula malam ini sehingga 9 pagi esok.

Jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah seterusnya akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja sebelum dimakamkan selepas Zohor esok.