Thursday, August 22, 2019
updated 12:32 PM UTC, Aug 22, 2019

Buruh binaan cedera parah jatuh dalam loji air

  • Published in Nasional

 

 


KEMAMAN – Seorang buruh binaan cedera parah selepas terjatuh ke dalam sebuah loji air yang sedang dalam pembinaan sedalam sebelas meter di Tapak Loji Air Sungai Pinang, Kemaman pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Noor Munadjari, 38, berasal dari negeri Sabah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah ketika dihubungi berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan tergelincir ke dalam lubang tangki terbabit ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan satu daripada unit EMRS bagi tujuan menyelamat.

Turut sama bergegas ke lokasi bagi operasi menyelamat tiga anggota polis dan tiga ahli paramedik dari Hospital Kemaman (HK) bersama sebuah ambulans.

Mangsa berjaya dibawa naik dari dalam tangki berkenaan dengan menggunakan kren kira-kira jam 12.30 tengahari dan sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik untuk diberi rawatan awal di lokasi kejadian.

Kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.